Bertitik-tolak daripada penglibatan dirinya dengan pantun sejak kecil, kini pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan Islam itu merupakan salah seorang daripada penggiat pantun di UM. Mempunyai kumpulan pemantun yang digelar Laskar Budaya, Sopian memberitahu, kumpulannya pernah beberapa kali mewakili UM ke pertandingan pantun termasuk yang baru-baru ini diadakan di Kuala Lumpur pada pertengahan November lalu. “Setiap kali ada pertandingan pantun, kami akan turut serta. Baru-baru ini kami berjaya muncul johan di Pertandingan Akhir Pesta Pantun Bestari 2011 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). “Pertandingan tersebut melibatkan 12 institusi pengajian tinggi awam,” ujar pemuda berusia 23 tahun itu. Bagi Sopian, seorang pemantun perlu ada kreativiti yang tersendiri serta mahir dalam penggunaan bahasa klasik dan pengolahan ayat. Tambahnya, jika di dalam pertandingan, lazimnya masa yang akan diberi untuk menjual atau menjawab pantun adalah selama satu minit. “Biasanya pantun yang dipertandingkan ialah pantun empat kerat mengandungi pembayang pertama dan kedua yang berkait. “Kreativiti serta penggunaan ayat yang betul amat penting. Bahasa klasik juga perlu dipelajari untuk menghasilkan pantun yang baik,” ujarnya.
Bergelar pelajar tahun akhir, Sopian turut melahirkan rasa bimbang kerana penggiat pantun UM belum mempunyai pelapis. “Saya tahu perkara sebegini tidak boleh dipaksa, tetapi kami perlu mencari pelapis kami. Kami berharap akan ada pelajar yang berminat untuk meneruskan apa yang telah dimulakan. “Seseorang itu perlu ada minat dan rasa tanggungjawab untuk memelihara budaya pantun, barulah rasa seronok itu akan timbul,” jelasnya yang juga merupakan seorang pemain sukan bola jaring. Selain pantun, Sopian yang sememangnya meminati bidang pengucapan awam turut mempunyai kemahiran dalam berpidato, berdebat, berpuisi serta bersyair
