
Kejuaraan terbaru Cobra menerusi kejohanan KL Open menjadi pelengkap dan penutup tahun gemilang buat pasukan Cobra. Ia adalah kejuaraan ketiga-tiga berturut-turut Cobra dalam kalendar kejohanan utama sukan bola jaring lelaki selepas KSN Open dan Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM.
Ternyata kekuatan pasukan utama Cobra iaitu Cobra Alpha sukar ditandingi bahkan, taring penjaring Cobra Alpha, Lim Wei Jin, Kok Tai dan Rizal sudah tidak dapat dikekang lawan sejak peringkat kumpulan lagi.
Barisan skuad Cobra Alpha diketuai Zulkefli Zakaria dan diperkuat oleh barisan pemain Azrizal, Mohamad Yusof, Abdullah aka Doul, Amirul Hassan aka Ashie dan Yuadzaha aka Nana menumbangkan lawan dengan jaringan besar diperingkat kumpulan lagi. Pada peringkat kumpulan, Cobra Alpha gagah menewaskan Phoenix dengan jaringan 23-9, manakala Legacy B 21-2.
Laluan ke peringkat suku akhir mempertemukan Cobra Alpha dengan pasukan Napolean yang menyaksikan Cobra Alpha melangkah bergaya. Jika pada kejohanan-kejohanan lain sebelum ini, pertarungan Cobra Alpha dan Royale selalunya berlangsung pada peringkat final, namun rencananya berbeza pada kejohanan KL Open apabila aksi itu berlaku di peringkat semi final. Percaturan dan strategi Cobra Alpha ternyata berjaya mematahkan serangan demi serangan Royale sementara, Rizal dan Kok Tai berjaya menyempurnakan tugas selaku GS dan GA Alpha.
Pertembungan final di antara Cobra Alpha dan Legend NC seperti selalunya memang mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata. Malah, pada satu ketika kem penyokong Cobra hampir ‘tercabut jantung’ apabila Alpha ketinggalan dua mata di belakang Legend yang menampil GS barunya. Ternyata beberapa pertukaran strategi Alpha berjaya menumpulkan serangan Legend NC sekali gus membolehkan Cobra Alpha muncul johan KL Open dengan keputusan 13-11. Selaku juara Alpha pulang dengan RM1,500.
Kem Cobra melakarkan kenangan manis pada kejohanan ini, apabila Cobra Bravo dan Cobra Charlie juga beraksi cemerlang. Cobra Bravo diketuai Ibrahim aka Ibby berjaya mara ke peringkat suku akhir selepas menjadi naib johan kumpulan A. Pada peringkat kumpulan Cobra Bravo menang ke atas Reborn Rover 8-3 tetapi tewas dengan Legend NC B 6-8.Pada peringkat suku akhir, Cobra Bravo bertemu dengan pasukan Royale sebelum tumpas.
Pasukan Charlie menyaksikan Kapten, Shaharezan menjadi nakhoda dengan menyarung bib GA sekaligus berjaya membawa Charlie hingga ke peringkat separuh akhir. Bergandingan dengan pemain muda kelahiran Singapura Shafiq ternyata jentera serangan Charlie tidak mengecewakan.
Di peringkat kumpulan Charlie menjadi juara kumpulan apabila menumpaskan Napolean dengan jaringan 12-4 manakala seri dengan Legacy A 11-11. Bertemu dengan pasukan Phoenix pada suku akhir, peningkatan permainan pemain-pemain muda seperti Asyraf aka Cerah, Sam dan Hudzir sangat membanggakan yang turut dibantu oleh pemain senior Khairul Rahman aka Koi dan Aiery. Charlie berjaya menumbangkan Phoenix.
Pertarungan dengan Legend NC pada peringkat separuh akhir ternyata satu cabaran besar. Permainan agresif pertahanan Legend NC menyaksikan Shafiq dan Shah tersungkur di atas gelanggang berlantai tar di Kompleks Sukan Kampung Pandan selepas dilanggar ‘tembok besar’ Legend NC.
Dengan tangan masing-masing terpaksa berbalut, ternyata ia menjejaskan cubaan jaringan demi jaringan. Strategi permainan agresif Legend NC itu ternyata berpihak kepada mereka yang menang.
Penentuan tempat ketiga keempat menyaksikan Cobra Charlie tewas kepada Royale walaupun pada satu ketikanya telah selesa mendahului 8-1.Selaku pemenang tempat keempat Charlie pulang dengan RM500, manakala Bravo juga tidak ketinggalan menerima hadiah RM300.Atas semangat kesukanan yang tinggi yang ditunjukkan oleh Kontijen Cobra baik daripada barisan pemain dan penyokong dalam kejohanan KL Open setinggi ucapan tahniah kita ucapan.
TAHNIAH DAN SYABAS
Oleh : Zamri Rambli